logo
Sila masukkan kata kunci dan tekan butang CARI.

Soalan Lazim


Apakah sebenarnya Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030)?

Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) merupakan dokumen strategi jangka panjang keusahawanan negara yang menggariskan objektif, sasaran, strategi serta inisiatif pembangunan ekosistem keusahawanan merentasi semua bidang industri dan merangkumi setiap peringkat usahawan dan masyarakat di Malaysia.


Apakah matlamat utama yang mendorong penggubalan DKN 2030?

Selaras dengan gagasan “Kemakmuran Bersama” sebagai usaha murni Kerajaan hari ini untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, terangkum dan inklusif, Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) selaku peneraju agenda keusahawanan negara menggalas tanggungjawab untuk merealisasikan hasrat murni menjadikan Malaysia sebagai Negara Keusahawanan Unggul menjelang tahun 2030.

MED juga berperanan untuk menyediakan sebuah ekosistem keusahawanan negara yang holistik dan kondusif. Untuk itu, DKN 2030 yang digubal oleh MED akan menjadi teras dan panduan dalam merangka strategi pembangunan keusahawanan di peringkat nasional dengan penglibatan semua pihak di pelbagai peringkat.
 


Apakah keistimewaan DKN 2030?

DKN 2030 merupakan dasar keusahawanan pertama yang komprehensif dan khusus mengenai agenda pembangunan keusahawanan di negara ini secara holistik melibatkan individu (usahawan), entiti (perusahaan) dan proses (keusahawanan).

Dasar ini juga digubal melalui proses yang dilaksanakan secara menyeluruh dengan penglibatan semua pihak berkepentingan (stakeholders) dalam bidang keusahawanan merangkumi Agensi Kerajaan, ahli akademik, pakar-pakar industri, badan-badan bukan Kerajaan (NGO), syarikat swasta, syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), usahawan serta orang awam melalui perundingan awam, maklum balas dalam talian, dialog serta mesyuarat dan perbincangan bengkel.

Sebagaimana yang diakui oleh YAB Perdana Menteri sendiri, DKN 2030 diperkenalkan tepat pada masanya ketika suasana ekonomi dunia bukan sahaja kompetitif dan mencabar, malahan penuh dengan ketidaktentuan akibat daripada fenomena ‘perang dagang’.
 


Apakah antara cabaran yang dihadapi pihak kerajaan dalam usaha membangunkan keusahawanan?

Cabaran pihak kerajaan bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia adalah untuk beralih dari "ekonomi tradisional" kepada "ekonomi baharu". Usahawan perlu dilengkapi dengan "kemahiran abad ke-21", mendigitalkan operasi perniagaan, dan keperluan untuk bekerjasama dengan usahawan lain supaya terus bertahan dalam persekitaran dinamik ini.


Apakah bentuk bantuan yang akan disalurkan kepada usahawan-usahawan negara melalui pelaksanaan DKN 2030?

Bantuan kepada usahawan disediakan dalam bentuk pelaksanaan program-program pembangunan keusahawanan yang diselaraskan semula berdasarkan keperluan dan perkembangan semasa di peringkat global dengan memberikan fokus kepada beberapa bidang tumpuan iaitu pembiayaan kewangan, geran penyelidikan, latihan dan pembangunan kapasiti, infrastruktur/premis perniagaan/peralatan, teknologi, akses pasaran, perusahaan sosial dan pengantarabangsaan.

Sasaran program-program ini ialah untuk mengoptimumkan prestasi serta mewujudkan peluang untuk usahawan berkembang dan memajukan perniagaan mereka menerusi peluasan pasaran, inovasi dan peningkatan produktiviti.
 


Apakah peranan para usahawan dalam pelaksanaan DKN 2030?

Segala objektif dan matlamat yang telah digariskan di dalam DKN 2030 tidak akan dapat dicapai dengan jayanya tanpa disahut dan mendapat kerjasama padu daripada para usahawan serta semua pihak berkepentingan dalam bidang ini.

Para usahawan segenap peringkat diharap bersikap proaktif dan lebih cakna untuk sama-sama memahami dan menghayati hasrat Kerajaan melalui DKN 2030 kerana dasar ini digubal khusus untuk memajukan ekosistem keusahawanan negara.
 


Apakah harapan sempena pelancaran DKN 2030?

Dengan penggubalan DKN 2030 juga, Malaysia seharusnya mempunyai sumber bakat berkemahiran tinggi, dipacu inovasi, ekonomi kolaboratif, komuniti keusahawanan yang mantap, tadbir urus yang baik, diterajui pasaran dan pembangunan yang mampan.

Pembentukan masyarakat Malaysia yang berbudaya dan berpemikiran keusahawanan ialah asas dalam menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan selaras dengan hasrat Malaysia sebagai sebuah Negara Keusahawanan Unggul 2030.
 


divider